Boleh dikatakan kesemua pasangan suami isteri inginkan zuriat, cahaya mata sendiri. Namun begitu, rezeki setiap manusia berbeza-beza. Ada pasangan yang telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, namun masih belum dikurniakan anak. Mungkin ini adalah masanya untuk menjalani rawatan kesuburan. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh meningkatkan harapan pasangan suami isteri untuk hamil.
Ramai pasangan yang diuji dengan masalah ini berkongsi pengalaman IVF mereka. Setelah mencuba pelbagai cara dan usaha, akhirnya rawatan IVF membuahkan hasil. Antara kisah yang sering kita dengar adalah pengalaman IVF yang dilalui oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Lebih menarik lagi, kedua-dua anak penyayi no. 1 negara ini merupakan hasil rawatan IVF.
Terbaru, Siti Nurhaliza telah berkongsi perjalanan kehamilan kali kedua dengan kaedah yang sama iaitu proses IVF berjaya. Vlog yang dimuat naik di saluran YouTubenya memaparkan perjalanan beliau melalui rawatan IVF untuk kali kedua. Beliau juga berkongsi tips IVF yang sememangnya berharga bagi pasangan lain yang ingin mencuba kaedah yang sama.
Apa Itu IVF
Bagi mereka yang baru mengetahui mengenai rawatan kesuburan untuk wanita, pasti tertanya-tanya apa itu IVF. Rawatan IVF atau persenyawaan in vitro juga dikenali sebagai rawatan bayi tabung uji. Ia merupakan satu proses apabila telur disenyawakan di luar rahim, iaitu di dalam makmal. Telur diekstrak dari ovari dan digabungkan dengan sperma dalam bekas kaca.
In vitro merujuk pada bekas kaca iaitu piring petri, yang digunakan untuk proses persenyawaan telur yang diambil dari ovari isteri dan sperma suami. Kemudian, telur yang telah disenyawakan akan dimasukkan ke dalam rahim isteri untuk kehamilan berlaku.
Rawatan IVF Untuk Masalah Kesuburan
Rawatan IVF memberi peluang yang lebih tinggi kepada wanita untuk hamil sekiranya mengalami masalah ketidaksuburan. Terutama sekali jika masalah berkaitan kesuburan pada tiub fallopian di mana proses persenyawaan berlaku secara semulajadi.
Doktor akan syorkan rawatan kesuburan ini sekiranya isteri menghadapi masalah seperti kerosakan atau tiub fallopian tersumbat, masalah ovulasi dan fibroid rahim. Rawatan IVF juga digalakkan jika suami mempunyai sperma yang bermasalah dan tidak berkualiti serta masalah ketidaksuburan lain yang tidak dapat dikenalpasti.
Proses IVF Berjaya
Untuk proses IVF berjaya adalah sekitar 40% hingga 50%, di mana faktor utama adalah umur isteri. Secara amnya, semakin muda usia isteri, semakin tinggi kadar kejayaan untuk kehamilan melalui rawatan IVF. Selain itu, keadaan dan penyakit lain seperti endometriosis juga boleh mempengaruhi kadar kejayaan pengalaman IVF.
Untuk memastikan proses IVF berjaya, terdapat beberapa fasa yang perlu dilalui oleh pasangan suami isteri. Proses pertama adalah suntikan hormon bagi merangsang perkembangan telur. Kemudian, prosedur pengambilan telur dari isteri. Selepas itu, proses persenyawaan akan dilakukan dengan segera.
Sekiranya embrio berjaya dihasilkan, ia akan dipindahkan ke dalam rahim isteri pada hari ketiga atau hari kelima. Langkah ini adalah lebih mudah, hanya mengambil masa sekitar 5 minit, tanpa memerlukan bius. Selepas tamat langkah ini, anda boleh meneruskan hari seperti biasa. Selepas dua minggu, ujian darah akan dilakukan untuk memastikan proses IVF berjaya dengan kehamilan.
Harga IVF di Malaysia
Harga IVF di Malaysia adalah berbeza berdasarkan keberkesanan dan sesi rawatan. Seperti yang semua sedia maklum, hospital kerajaan mengenakan bayaran yang rendah jika dibandingkan dengan perkhidmatan di hospital swasta.
Rawatan IVF di hospital kerajaan adalah sekitar RM5,000. Walaubagaimanapun, anda terpaksa menunggu giliran kerana kes rujukan yang banyak. Kadangkala, waktu menunggu boleh mengambil masa sehingga setahun. Walaupun rawatan kesuburan ini terhad, namun pemeriksaan kesuburan disediakan di hospital besar di setiap negeri-negeri di Malaysia.
Di hospital swasta dan klinik rawatan kesuburan pula, kos rawatan adalah sekitar RM10,000 hingga RM20,000. Agak mahal jika dibandingkan dengan hospital kerajaan, tetapi anda tidak perlu menunggu lama untuk menjalani rawatan IVF.
Semoga dengan perkongsian pengalaman IVF serta tips IVF yang dikongsikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat membantu anda menempuhi perjuangan ini.